UKAS MeOW Dilancar, Perluas Capaian Maklumat Kerajaan Kepada Rakyat
KUCHING: Penyampaian maklumat Kerajaan Sarawak kepada rakyat, khususnya masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman, terus diperkasa menerusi pengoperasian dua unit kenderaan Media on Wheels (MeOW) milik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Inisiatif tersebut memperkukuh keupayaan UKAS dalam melaksanakan komunikasi strategik secara bergerak, sekali gus mendekatkan kerajaan dengan rakyat menerusi penyampaian maklumat yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Kemudahan baharu itu dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kuching di Metrocity, Matang, pada Rabu.
Dilengkapi tiga panel paparan LED, sistem pembesar suara (PA), penjana kuasa tiga fasa berkapasiti 50 kVA, sistem tenaga solar berkapasiti 6.2 kWh serta kemudahan internet satelit Starlink, kenderaan berkenaan mampu beroperasi secara kendiri bagi menyokong pelaksanaan aktiviti komunikasi di pelbagai lokasi.
Selain menjadi medium penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif dan perkhidmatan kerajaan, UKAS MeOW turut berfungsi sebagai kenderaan penyiaran luar (Outside Broadcast atau OB Truck) dengan memanfaatkan aset penyiaran sedia ada UKAS bagi menyokong pelaksanaan siaran langsung dan penerbitan kandungan di lapangan.
Bagi memastikan liputan yang lebih menyeluruh, sebuah kenderaan akan beroperasi di zon selatan, manakala sebuah lagi meliputi zon tengah dan utara Sarawak.
Setiap unit akan dikendalikan oleh tujuh petugas yang terdiri daripada dua pemandu dan lima kru bagi memastikan kelancaran serta kecekapan operasi.
Pengoperasian kedua-dua unit MeOW itu juga dapat mengoptimumkan penggunaan sumber serta mengurangkan kebergantungan terhadap penyewaan sistem pembesar suara, paparan LED dan kemudahan produksi berbilang kamera (MCP) bagi program di luar kawasan.
Inisiatif tersebut mencerminkan usaha berterusan UKAS dalam memodenkan pendekatan komunikasi awam melalui pemanfaatan teknologi dan mobiliti bagi memastikan maklumat kerajaan dapat disampaikan dengan lebih meluas kepada segenap lapisan masyarakat di Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, menteri-menteri Sarawak, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol. – EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: George S.Embie & Shahril Haqim