Calon GPS Satok Tekad Bantu Kembangkan Perniagaan Digital Belia
KUCHING: Belia dan usahawan muda di Satok berpotensi mendapat peluang lebih luas untuk menceburi ekonomi digital.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, inisiatif itu antara usaha yang ingin dilaksanakannya bagi membantu anak muda memulakan perniagaan, khususnya mereka yang berdepan kekangan kos untuk menyewa pejabat di kawasan Satok yang merupakan pusat perniagaan.
Menurutnya, walaupun Satok pesat membangun dari segi infrastruktur dan ekonomi, peluang kepada belia untuk mengembangkan potensi dalam bidang keusahawanan digital perlu terus diperkukuh.
“Bila hendak berniaga, mereka tidak mempunyai pejabat. Kos pejabat di kawasan Satok yang merupakan pusat perniagaan juga sangat tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon GPS, di sini pada Khamis.
Terdahulu, Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hadir bagi menyempurnakan majlis berkenaan.
Menurut Datuk Ibrahim, cadangan pusat digital dan permulaan perniagaan itu akan diusahakan menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan Affin Bank.
Selain peluang keusahawanan, beliau turut memberi perhatian kepada keperluan masyarakat setempat, khususnya penyediaan dewan masyarakat bagi kampung yang masih belum mempunyai kemudahan berkenaan.
Katanya, dewan masyarakat penting bukan sahaja sebagai tempat perhimpunan penduduk, malah bagi memastikan budaya, tradisi dan hubungan komuniti terus terpelihara.
“Mana-mana kampung yang belum mempunyai dewan masyarakat, insya-Allah, kita akan mula membinanya,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan Satok perlu bergerak seiring dengan usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat, walaupun kawasan itu terus menerima pembangunan infrastruktur dan ekonomi.
Antara projek yang disebut ialah pembangunan tebingan sungai sepanjang 4.8 kilometer yang dijangka menjadi sebahagian daripada pembangunan kawasan berkenaan.
Tegasnya, kemajuan sesebuah kawasan tidak seharusnya dinilai berdasarkan pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira sejauh mana manfaatnya dapat dirasai penduduk.
Justeru, beliau mahu pembangunan Satok turut memberi ruang kepada belia untuk membina masa depan melalui keusahawanan, selain memastikan kemudahan komuniti terus dipertingkatkan. -EDISI UKAS