Kerajaan Sarawak Bantu Bina Aset Keluarga Bernilai RM350,000
GEDONG: Kerajaan Sarawak membantu keluarga di Gedong membina aset bernilai sekurang-kurangnya RM350,000 menerusi penyediaan rumah dengan bayaran pembelian RM150,000.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan pembangunan perumahan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) itu membolehkan keluarga memiliki aset bernilai tinggi dengan pelaburan yang lebih rendah.
“Rumah seperti yang disebutkan tadi mampu meningkatkan nilai aset sesebuah keluarga kepada sekurang-kurangnya RM350,000, walaupun keluarga hanya membayar RM150,000.
“Inilah pendekatan kita, iaitu membantu keluarga memiliki aset bernilai tinggi dengan pelaburan yang hanya separuh daripada nilai aset tersebut,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Program LCDA Berambeh di Gedong, pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, usaha itu merupakan sebahagian daripada pendekatan kerajaan menyediakan kediaman selesa yang bukan sahaja memenuhi keperluan tempat tinggal, malah membantu keluarga membina aset untuk jangka panjang.
“Rumah yang kita bangunkan merupakan sebuah rumah banglo dengan keluasan tanah antara 0.12 hingga 0.15 ekar bagi setiap unit.
“Keluasan tanah ini memberikan ruang yang mencukupi untuk pembinaan rumah, selain membolehkan pemilik memperbesarkan kediaman mereka pada masa hadapan sekiranya mempunyai kemampuan kewangan yang lebih baik,” ujar beliau lagi.
Menurut beliau lagi, kemudahan pembiayaan melalui Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd turut membantu pembeli memiliki rumah menerusi pembayaran secara ansuran.
Beliau berkata, kadar pembiayaan yang ditawarkan ialah satu peratus, dengan tempoh pembayaran sehingga 25 tahun boleh dirundingkan bagi memberi fleksibiliti kepada pembeli mengurus komitmen kewangan.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Penasihat PKS, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dato Sri Mohamad Naroden Majais, Pengurus Besar LCDA Datu Sr Zaidi Mahdi dan Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Natalie Cherinie Johnny