45 Rumah SPS Banting Ditawar RM150,000, Kos Pembangunan RM522,000 Seunit
LAWAS: Sebanyak 45 unit rumah di Skim Penempatan Semula (SPS) Banting ditawarkan kepada rakyat pada harga RM150,000 seunit, meskipun kos pembangunan termasuk tanah dan infrastruktur dianggarkan mencecah RM522,000 bagi setiap unit.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata perbezaan ketara antara kos pembangunan dan harga jualan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, memiliki kediaman sendiri pada harga yang lebih berpatutan.
Menurutnya, kos pembangunan di Limbang dan Lawas adalah antara 15 hingga 20 peratus lebih tinggi berbanding bahagian lain di Sarawak, terutama disebabkan faktor pengangkutan, logistik dan bekalan bahan binaan.
“Secara purata, kos bagi satu unit rumah termasuk pembangunan tanah dan infrastruktur adalah sekitar RM522,000. Namun, rumah ini hanya dijual pada harga RM150,000,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Skim Penempatan Semula (SPS) Banting di sini pada Sabtu.
Bagi mengurangkan lagi beban pembeli, kerajaan turut menyediakan bantuan deposit perumahan RM10,000 kepada pemohon yang layak, menjadikan harga efektif rumah berkenaan RM140,000.
Pembeli juga berpeluang mendapatkan kemudahan pembiayaan menerusi Mutiara Mortgage Credit Sdn. Bhd., dengan kadar keuntungan serendah satu peratus bagi golongan B40, manakala kadar bagi M40 tidak melebihi tiga peratus, tertakluk kepada syarat pembiayaan.
Selain itu, premium tanah bagi setiap lot ditetapkan pada kadar RM2,500 dan boleh dibayar secara ansuran sehingga 10 tahun, sekali gus membantu meringankan komitmen kewangan bakal pemilik.
Menurut Datuk Amar Awang Tengah, pembangunan SPS Banting turut menampilkan pendekatan penempatan yang lebih terancang dengan penyediaan kemudahan infrastruktur asas bagi meningkatkan keselesaan serta kualiti hidup penduduk.
Kemudahan tersebut katanya merangkumi jalan berturap, parit konkrit, bekalan air dan elektrik serta sambungan internet di kawasan tertentu.
Turut hadir Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Pengurus Besar LCDA, Datu Zaidi Mahdi serta Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi.-EDISI UKAS