Kesedaran Kesihatan, Pengesanan Awal Penyakit Perlu Dipertingkat
MIRI: Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala perlu dipertingkat bagi membolehkan penyakit, khususnya diabetes dan penyakit tidak berjangkit, dikesan pada peringkat awal.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.75 Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata pendidikan kesihatan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan serta mengenal pasti faktor risiko penyakit.
Menurutnya, program pemeriksaan kesihatan yang dilaksanakan secara berterusan memberi peluang kepada orang ramai menjalani pemeriksaan, mendapatkan nasihat daripada petugas kesihatan serta mengetahui keadaan kesihatan masing-masing.
“Usaha mendekati masyarakat melalui program kesihatan seperti ini perlu diteruskan bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat akses kepada maklumat, pemeriksaan dan perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Pemeriksaan Kesihatan sempena Sambutan Hari Diabetes Sedunia anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Senadin di Permy Mall, hari ini.
Dato Sri Lee turut berharap lebih banyak program kesedaran dan pemeriksaan kesihatan dapat dianjurkan secara berterusan dengan penglibatan petugas kesihatan serta masyarakat setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata usaha memindahkan Klinik Desa Senadin ke premis yang lebih selesa dan sesuai sedang diberi perhatian bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada penduduk.
Katanya, lokasi klinik terdahulu didapati kurang sesuai, justeru usaha mencari premis baharu telah diminta bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua doktor, jururawat, petugas perubatan dan pihak penganjur atas komitmen menjayakan program pemeriksaan kesihatan berkenaan.-EDISI UKAS