Saingan Tiga Penjuru Jadi Perhatian Di DUN Simanggang
SRI AMAN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N32 Simanggang menyaksikan persaingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN13) apabila tiga calon disahkan bertanding bagi merebut mandat pengundi di kawasan itu.
Pertandingan tersebut melibatkan Leonard Libau Anol daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS-SUPP), Wilson Entebang yang bertanding sebagai calon Bebas dan Peli Aron daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Simanggang, Mohd Rizal Zakaria mengumumkan ketiga-tiga calon tersebut selepas proses penamaan calon ditutup pada jam 10.00 pagi Sabtu di Bilik Mesyuarat Tingkat 3, Perpustakaan Majlis Daerah Sri Aman pada Sabtu.
Wilson Entebang mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.03 pagi, diikuti Leonard Libau pada jam 9.08 pagi dan Peli Aron pada jam 9.28 pagi.
Berdasarkan keputusan cabutan undi bagi menentukan susunan nama calon pada kertas undi, Leonard Libau (GPS-SUPP) berada pada kedudukan pertama, diikuti Wilson Entebang (Bebas) di kedudukan kedua dan Peli Aron (PBK) di kedudukan ketiga.
DUN Simanggang menampilkan calon baharu setelah penyandang DUN Simanggang Datuk Francis Harden Hollis tidak mempertahankan kerusi tersebut yang dipegangnya sejak tahun 1996. -EDISI UKAS