Royston Menang Tanpa Bertanding, Tekad Teruskan Agenda Pembangunan
MUKAH: Royston Valentine kekal selaku wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian selepas menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu hanya satu-satunya yang mengemukakan pencalonan pada proses penamaan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, pada Sabtu.
Beliau hadir ke pusat penamaan calon di Menara Pehin Setia Raja Mukah sambil diiringi pencadang Rantai Melin dan penyokong Kang Boon Eong bagi mengemukakan borang penamaan calon.
Mengulas mengenai kemenangan tersebut, beliau menzahirkan rasa syukur kerana segala urusan dipermudah sekali gus membolehkannya meneruskan tanggungjawab dan amanah sebagai wakil rakyat di kawasan DUN Tellian.
"Sokongan padu masyarakat setempat menjadi antara perkara yang amat dihargai dalam meneruskan khidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.
"Pembangunan Mukah akan terus menjadi agenda utama dengan meneruskan perancangan yang telah dirintis oleh pemimpin terdahulu bagi memastikan kawasan ini terus berkembang setanding dengan bahagian lain," katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, Royston menegaskan bahawa pendidikan kekal menjadi keutamaan bagi memastikan masyarakat di Mukah tidak ketinggalan dalam aspek pendidikan, selain memberi perhatian kepada pembangunan sosioekonomi penduduk setempat.
Katanya, pendidikan dan sosioekonomi amat penting dan dititikberatkan.
Menariknya, hari penamaan calon tersebut turut membawa makna tersendiri apabila beliau menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-40 pada hari yang sama.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para penyokong yang hadir dari beberapa kawasan termasuk Ulu Bauh, Nanga Bauh, Sebakong, Ulu Dijih, Ulu Sikat dan Nanga Sikat walaupun dalam keadaan hujan bagi menunjukkan sokongan terhadap pencalonannya.
"Saya berharap seluruh masyarakat di kawasan ini sentiasa dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan, selain mendoakan agar kepimpinan Kerajaan Sarawak terus membawa manfaat kepada rakyat," tambahnya. - EDISI UKAS