LCDA Kaji Simulasi Digital Perbaharui Reka Bentuk Rumah Tanpa Naikkan Harga
GEDONG: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) sedang mengkaji penggunaan simulasi digital bagi memperbaharui reka bentuk rumah dari semasa ke semasa tanpa menaikkan harga jualan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, teknologi simulasi membolehkan reka bentuk rumah diuji dan disesuaikan sebelum pembinaan dilaksanakan.
“Reka bentuk rumah perlu sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa tanpa meningkatkan kos pembinaannya, memandangkan kemajuan teknologi kini membolehkan kita menggunakan kaedah simulasi perumahan.
“Melalui penggunaan teknologi maklumat (IT), reka bentuk rumah dapat dibangunkan dan diuji menerusi simulasi terlebih dahulu bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan sebelum pembinaan dilaksanakan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program LCDA Berambeh di Gedong, pada Sabtu.
Menurut beliau, teknologi maklumat boleh digunakan untuk menghasilkan reka bentuk rumah dan menguji perubahan yang dicadangkan sebelum mendapatkan pandangan arkitek.
Mengulas lanjut, Premier Sarawak memberitahu penggunaan teknologi itu juga boleh membuka ruang kepada reka bentuk yang lebih fleksibel, termasuk kediaman bertingkat dengan ruang keluarga dan beranda yang lebih luas.
“Jangan ambil 100 peratus begitu sahaja kerana reka bentuk rumah masih boleh disesuaikan.
“Perkara ini boleh dirujuk kepada arkitek untuk mendapatkan pandangan dan membuat penyesuaian yang diperlukan kerana itula kelebihan teknologi yang kita gunakan,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Natalie Cherinie Johnny