Kevin Lau Wakili GPS Dalam Pertandingan Dua Penjuru DUN Bawang Assan
SIBU: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Kevin Lau Kor Jie bakal berdepan pertandingan dua penjuru bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.53 Bawang Assan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Beliau akan berdepan calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), Alice Lau Kiong Yieng selepas kedua-dua nama disahkan bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Tsong Chow Choon sebaik proses penamaan calon selesai di Stadium Tertutup Sibu pada Sabtu.
Proses penamaan calon berlangsung dalam keadaan aman dan teratur dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Seramai 200 penyokong GPS dan 50 penyokong DAP dilaporkan berkumpul di hadapan Stadium Tertutup Sibu seawal jam 7.50 pagi sebelum proses berakhir pada jam 10 pagi.
Tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan sepanjang berlangsungnya proses penamaan calon.-EDISI UKAS