Datuk Amar Douglas Uggah Tekad Teruskan Agenda Pembangunan Bukit Saban
SPAOH: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas komited meneruskan agenda pembangunan serta memperkukuh sosioekonomi penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.37 Bukit Saban selepas menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pengisytiharan kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Lister Clement Guwie selepas tiada pencalonan lain diterima sehingga tempoh penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi di Dewan Masyarakat Spaoh, pada Sabtu.
Mengulas kemenangan tersebut, Datuk Amar Douglas merakamkan penghargaan kepada rakyat Bukit Saban atas kepercayaan yang diberikan.
Menurutnya, pelbagai pembangunan telah dilaksanakan kerajaan GPS di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sepanjang lima tahun lalu, termasuk pembinaan 22 jambatan serta pelbagai projek jalan raya.
Di Bukit Saban katanya, antara pembangunan yang telah dilaksanakan termasuk STOLport Bebuling, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Bebuling, Agropark Bebuling, Jambatan Paku serta pelbagai projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Beliau berkata, usaha pembangunan kawasan itu akan terus dipergiat, khususnya bagi meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan penduduk melalui pelaksanaan program ekonomi baharu dan futuristik, selaras dengan sasaran GPS menjelang 2030 untuk meningkatkan pendapatan purata keluarga kepada RM15,000 sebulan.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan pendidikan sebagai antara pendekatan penting dalam membasmi kemiskinan, selain membuka peluang kepada generasi muda untuk memperoleh ilmu pengetahuan, pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik.
Beliau berharap masyarakat Bukit Saban dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang pendidikan serta program pembangunan yang disediakan kerajaan bagi membolehkan generasi akan datang menikmati taraf kehidupan yang lebih baik.
Datuk Amar Douglas Uggah turut merakamkan penghargaan kepada petugas pilihan raya, pihak keselamatan, media serta penyokong parti atas peranan masing-masing dalam memastikan proses penamaan calon berlangsung aman, lancar dan teratur.-EDISI UKAS