Datuk Amar Awang Tengah Pertahan Kerusi DUN Bukit Sari, Menang Tanpa Bertanding
LAWAS: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.82 Bukit Sari selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, pada Sabtu.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ladin Atok selepas proses penamaan calon dan semakan dokumen pencalonan selesai di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas.
Datuk Amar Awang Tengah yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan calon tunggal yang disahkan layak bertanding bagi kerusi berkenaan, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari.
Kira-kira 3,000 penyokong turut hadir bagi menyaksikan proses penamaan calon di sekitar pusat berkenaan.
Keseluruhan proses penamaan calon berlangsung lancar, teratur dan dalam suasana aman dengan aspek keselamatan terkawal hasil pemantauan pihak berkuasa.
Susulan kemenangan tanpa bertanding itu, pengundi berdaftar di kawasan DUN Bukit Sari tidak perlu keluar mengundi pada hari pengundian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 12 Disember 2026. – EDISI UKAS