Datuk Ripin Lamat Kekal Lambir Penggal Keempat, Menang Tanpa Bertanding
MIRI: Datuk Dr Ripin Lamat mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir untuk penggal keempat berturut-turut selepas menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 hari ini.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Lambir, Siti Rohanie Yusof, mengisytiharkan kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu selepas tempoh penamaan calon berakhir pada jam 10 pagi.
Datuk Dr Ripin berkata, beliau pada awalnya menjangkakan saingan tiga penjuru dan tidak menyangka akan menang tanpa bertanding pada PRN kali ini.
Menurutnya, kemenangan berkenaan akan diteruskan dengan usaha turun padang bagi mengenal pasti keperluan penduduk di seluruh kawasan Lambir.
“Walaupun menang, saya tetap menjelajah seluruh Lambir.
“Tiga keutamaan bagi penggal ini ialah menambah baik infrastruktur, memperkukuh pendidikan dan meningkatkan ekonomi penduduk di kawasan bandar, pinggir bandar serta luar bandar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman kemenangan itu.
Beliau berkata, bekalan air dan liputan telekomunikasi antara kemudahan yang memerlukan perhatian susulan penduduk masih mengalami gangguan dari semasa ke semasa.
Datuk Dr Ripin tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak pada jam 8.08 pagi bersama pencadangnya, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Hajis Japar Labaw, serta penyokongnya, Kaunselor Majlis Bandaraya Miri, Rahim Unsang.
Kira-kira 1,000 penyokong hadir di kawasan PPC bagi menyaksikan proses penamaan calon berkenaan.
Datuk Dr Ripin mula memenangi kerusi DUN Lambir pada 2011 dan mempertahankannya pada 2016 sebelum mengekalkan kerusi berkenaan dalam saingan empat penjuru pada PRN Sarawak 2021.– EDISI UKAS