Pembangunan Infrastruktur Pemangkin Kemajuan Ngemah Dan Machan
Hari Keenam Kembara UKAS 2.0 meneruskan misi menelusuri denyut pembangunan di kawasan luar bandar, kali ini membawa tumpuan kepada harapan dan aspirasi masyarakat di Kanowit yang merangkumi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pelbagai keperluan dan harapan diketengahkan, khususnya berkaitan pembangunan infrastruktur, kemudahan asas serta usaha memperkukuh jaringan perhubungan demi memastikan kemajuan terus dirasai masyarakat di kedua-dua kawasan.
Pembangunan sesebuah kawasan bukan sekadar diukur melalui jumlah projek yang dilaksanakan, sebaliknya turut dinilai berdasarkan sejauh mana kemudahan yang disediakan mampu mengubah kehidupan masyarakat, memudahkan pergerakan serta membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah, pembangunan infrastruktur khususnya jalan raya dan jambatan terus menjadi antara keutamaan yang diharapkan penduduk dalam usaha memastikan kawasan itu tidak ketinggalan seiring kemajuan bahagian lain di Sarawak.
Pekan Kanowit
Kaunselor Jelema Meringai berkata, sepanjang tempoh khidmat wakil rakyat sebelum ini, pelbagai projek pembangunan telah dibawa masuk ke kawasan berkenaan, dengan penekanan utama diberikan kepada pembinaan dan penambahbaikan jaringan jalan raya.
Menurutnya, meskipun tidak dapat memastikan jumlah keseluruhan projek yang telah dilaksanakan, beliau mengakui pembangunan di Ngemah menunjukkan peningkatan berbanding keadaan sebelumnya.
Kaunselor Jelema Meringai
Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa projek yang masih belum disiapkan dan memerlukan masa untuk direalisasikan memandangkan pembangunan berskala besar tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh singkat.
Beliau berpandangan, kesinambungan pembangunan amat penting bagi memastikan keperluan penduduk di kawasan luar bandar terus diberikan perhatian, terutama kampung-kampung yang masih belum menikmati kemudahan infrastruktur secara menyeluruh.
“Pada pandangan saya, pembangunan memang menunjukkan peningkatan berbanding dahulu. Namun, masih ada kampung yang memerlukan pembangunan, khususnya dari segi kemudahan infrastruktur.
“Saya percaya pembangunan akan terus bertambah sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus diberi mandat untuk menerajui kawasan ini, terutama bagi merealisasikan projek-projek yang masih belum dilaksanakan,” katanya.
Mengulas kemudahan asas, Jelema berkata, kira-kira 80 peratus kawasan berkenaan sudah mempunyai akses jalan raya, manakala liputan bekalan elektrik dianggarkan sekitar 70 peratus.
Keadaan itu memperlihatkan kemajuan yang telah dicapai, namun pada masa sama menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan bagi memastikan lebih ramai penduduk, khususnya di kawasan pedalaman, menikmati kemudahan yang sama.
Beliau turut menyifatkan keadaan pembangunan di DUN Machan tidak jauh berbeza dengan Ngemah, sekali gus berharap kedua-dua kawasan itu terus menerima perhatian dalam perancangan pembangunan negeri.
Jambatan Sebedil-Sedaya Pemangkin Konektiviti
Perkhidmatan feri masih digunakan sebagai alternatif untuk ke Sedaya.
Antara cadangan pembangunan yang dilihat berpotensi membawa perubahan besar kepada penduduk ialah pembinaan jambatan di Kampung Sebedil, merentasi Sungai Batang Rajang, terus ke kawasan Sedaya.
Menurut Jelema, cadangan berkenaan amat signifikan kerana mampu memperkukuh perhubungan antara kawasan Ngemah dan Machan, selain memudahkan pergerakan penduduk yang selama ini bergantung kepada feri sebagai alternatif untuk menyeberangi sungai selain jalan raya yang memakan masa.
Katanya, kewujudan jambatan itu bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan feri, malah berpotensi menjadikan perjalanan harian lebih mudah, cepat dan teratur.
Beliau memberikan contoh golongan guru yang perlu berulang-alik menggunakan feri untuk menjalankan tugas, sedangkan kemudahan jambatan berpotensi memberikan pilihan perjalanan yang lebih lancar dan praktikal.
“Jika jambatan di Kampung Sebedil ke Sedaya dapat direalisasikan, ia akan menghubungkan kedua-dua kawasan dengan lebih baik.
“Ini akan memudahkan perjalanan penduduk, termasuk guru yang terpaksa menggunakan feri untuk berulang-alik. Sebab itu, saya melihat pembinaan jalan raya dan jambatan sebagai perkara yang sangat penting,” katanya.
Jelema menegaskan, kemudahan jalan raya merupakan antara pemangkin utama pembangunan kerana ia menjadi asas kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif lain, termasuk penyediaan kemudahan awam, pertumbuhan aktiviti ekonomi dan peningkatan akses kepada perkhidmatan pendidikan serta kesihatan.
Hubungan perhubungan yang lebih baik juga berpotensi memudahkan penduduk membawa hasil pertanian dan produk tempatan ke pusat pemasaran, selain mengurangkan kekangan perjalanan yang sering dihadapi masyarakat luar bandar.
Dalam konteks pembangunan jangka panjang, cadangan jambatan berkenaan bukan sekadar memenuhi keperluan pengangkutan, malah boleh menjadi penghubung strategik yang menyatukan komuniti di kedua-dua kawasan.
Justeru, beliau berharap cadangan itu terus diberi perhatian dalam perancangan pembangunan akan datang supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi hari ini dan seterusnya.
Bagi masyarakat Ngemah dan Machan, kemajuan yang diharapkan bukan hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur baharu, tetapi juga memastikan setiap kampung mempunyai akses yang lebih baik kepada kemudahan asas.
Kesinambungan pembangunan jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan kemudahan awam diyakini mampu memperkukuh kesejahteraan masyarakat, sekali gus merancakkan pembangunan kawasan luar bandar secara lebih menyeluruh.
Keselesaan Rumah Ibadat Terus Diberi Perhatian
Gereja St Herbert di Song
Selain pembangunan infrastruktur yang menjadi keperluan utama masyarakat luar bandar, penyediaan kemudahan yang selesa di rumah ibadat turut mencerminkan perhatian terhadap kesejahteraan komuniti setempat.
Bagi Gereja St Herbert di Song, kelulusan peruntukan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk menyediakan kemudahan penghawa dingin merupakan satu sumbangan bermakna kepada warga gereja.
Pemasangan penghawa dingin itu akan memberikan suasana lebih selesa kepada orang ramai yang hadir untuk bersembahyang, khususnya ketika berlangsungnya aktiviti dan perhimpunan keagamaan di gereja berkenaan.
Kemudahan tersebut juga memperlihatkan kepentingan sokongan berterusan terhadap rumah-rumah ibadat pelbagai agama bagi memastikan masyarakat dapat menjalankan aktiviti keagamaan dalam persekitaran yang lebih baik.
Penghargaan itu turut menggambarkan peranan UNIFOR dalam membantu memenuhi keperluan komuniti bukan Islam di Sarawak, termasuk melalui penyediaan dan penambahbaikan kemudahan rumah ibadat.
Bagi masyarakat setempat, bantuan seumpama itu bukan sahaja memberikan manfaat dari sudut fizikal, malah mencerminkan keprihatinan terhadap keperluan komuniti serta kepentingan mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang agama.-UKAS