Perarakan Obor Festival Kebudayaan Cina Simbol Perpaduan di Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Perarakan Obor sempena '39th National Chinese Cultural Festival 2024 Torch Relay Ceremony' disambut meriah di Kota Samarahan, menonjolkan semangat perpaduan antara pelbagai kaum di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, memuji acara ini sebagai contoh terbaik usaha penyatuan masyarakat berbilang etnik di negeri tersebut.
Beliau menyifatkan perayaan ini bukan sahaja memperkenalkan budaya kaum Cina kepada etnik lain, malah menggambarkan keindahan perpaduan dalam negara.
"Acara ini menekankan warisan budaya dan perarakan obor ini melambangkan semangat perpaduan masyarakat yang berbilang kaum di Sarawak," ujar beliau dalam ucapannya di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Jernang di sini pada Khamis.
Datuk Hamzah juga berharap agar perayaan besar seperti ini akan terus dianjurkan pada masa akan datang, terutamanya di Kota Samarahan, bagi mempromosikan budaya Cina serta memupuk penghargaan terhadap nilai-nilai budaya tersebut dalam kalangan generasi muda.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM200,000 bagi pemasangan penghawa dingin di Dewan SJKC Sungai Jernang sebagai kemudahan untuk masyarakat setempat menjalankan pelbagai aktiviti.
Perarakan obor yang melibatkan 150 peserta dari pelbagai persatuan Cina di bawah Federation of Chinese Association of Sarawak ini memilih Samarahan sebagai persinggahan terakhir sebelum diteruskan ke Kuching.
Perarakan itu dijangka tiba di Kuching pada 13 September, dengan kemuncak festival berlangsung di Kuching Waterfront pada 15 September.
Turut hadir pada acara tersebut adalah Pengerusi Federation of Chinese Association of Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Panglima (Dr.) Goh Tian Chuan, Pengerusi Federation of Chinese Association of Sarawak, Dato Richard Wee Liang Huat, Timbalan Pengerusi Dato Wong King Hoong, dan Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat.-EDISI UKAS