Atlet Olahraga Sarawak Semakin Garang, Kaut 8 Lagi Emas Pada Hari Ketiga
KUCHING: Hari ketiga bagi sukan olahraga Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 menyaksikan kontinjen tuan rumah berjaya menuai lapan lagi pingat emas bagi pelbagai acara yang diadakan di Stadium Sarawak, Petra Jaya pada Rabu.
Pada sebelah pagi, Sarawak bermula dengan langkah kanan dengan membawa pulang satu emas melalui atlet rejam lembing lelaki F55, Jamal Nasir Zulkiplis yang turut mencatat rekod baharu.
Rejaman beliau sejauh 21.09 meter memadam catatan lama direkod atlet Melaka, Mohd Shaari Mohd Jaafar dengan jarak 20.97 meter.
Kontinjen Sarawak semakin garang pada sebelah petang apabila berjaya mengaut tujuh lagi kilauan emas.
Atlet yang menyumbang adalah Nur Farhani Kudus bagi acara 200 Meter Wanita T46/T47 dengan catatan masa 30.94 saat, Siti Zubaidah Puini bagi acara lempar cakera wanita F12/F13 dengan lemparan sejauh 19 meter dan Catalina Sunti David Diok bagi acara lempar cakera wanita F11 dengan lemparan sejauh 15.77 meter.
Manakala, Norizalina Kasim pula untuk acara lempar cakera wanita F37 dengan lemparan sejauh 12.48 meter, Noshazwani Maisara Marzuki bagi acara 200 meter wanita T37 dengan catatan masa 37.70 saat, Filemon Lirong Dionisus bagi acara 200 meter lelaki T11 dengan catatan masa 26.65 saat serta Jennyla Kueh bagi acara lontar peluru wanita F55/F56/F57 dengan lontaran sejauh 4.67 meter.
Dalam pada itu, Sarawak turut berjaya membawa pulang sebanyak tujuh pingat perak dan 10 pingat gangsa sekali gus menamatkan hari ketiga dengan 24 pingat secara keseluruhan. - EDISI UKAS