![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Kerajaan Sarawak Komited Perkasa Kesatuan Negeri
ASAJAYA: Kerajaan Sarawak komited memperkasakan kesatuan, kemajuan ummah yang Rabbani dan semangat perpaduan dalam negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, rakyat Sarawak harus berkehendakan negeri ini membangun dan berkembang maju.
"Sebagai rakyat Sarawak yang cintakan negeri dan negara, kita tentunya mengimpikan negeri dan negara kita terus membangun maju, berdaya saing, harmoni dan seterusnya menjadi contoh kepada negara-negara lain.
"Keamanan dan keharmonian antara kaum semestinya menjadi faktor yang sangat penting kepada negeri kita untuk mencapai kemajuan yang seimbang dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan sebagainya.
"Justeru, kewujudan kepimpinan negeri mestilah menjadi keutamaan dalam memastikan keseimbangan tersebut akan terus terpelihara," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Tilawah Al-Quran Daerah Asajaya 2024 di Masjid Darul Rahman di sini pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu menambah, penganjuran majlis Tilawah Al-Quran seumpama ini juga bukan sekadar untuk memperdengarkan kemerduan atau kelunakan suara.
Menurutnya, yang penting adalah mesej dan makna yang disampaikan dapat difahami dan dihayati.
Sementara itu, Jubni Sulong dari Taman Desa Muhibbah dinobatkan sebagai johan kategori Qari dalam Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Asajaya 2024 dan membawa pulang wang tunai RM500 beserta piala.
Dalam kategori Qariah, Fasihah Arpa dari Kampung Sadong Jaya Tengah diumumkan sebagai johan dan membawa pulang wang tunai RM500 beserta piala.
Penganjuran Tilawah kali ini menarik penyertaan seramai 32 peserta terdiri daripada 18 qari dan 14 qariah dari sekitar Daerah Asajaya.
Turut hadir ialah Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Pegawai Agama Islam Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan Ustaz Bahrin Kawi dan Penghulu Tamel Mohamad. -EDISI UKAS