![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
GEDONG: Seramai 100 orang pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Punggor telah menerima sumbangan peralatan sekolah bagi melengkapkan keperluan peralatan di pusat sumber sekolah tersebut.
Sumbangan itu daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Sarawak telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong merangkap Ahli Lembaga Pengarah SKM Rodiyah Sapiee.
Rodiyah berkata, program tersebut adalah salah satu inisiatif tanggungjawab masyarakat (CSR) yang dilaksanakan oleh SKM selaras dengan prinsip ketujuh koperasi iaitu ‘mengambil berat terhadap masyarakat’.
“Sumbangan tersebut menunjukkan kepedulian koperasi dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat dalam memperkukuh imej korporat SKM sebagai Badan Berkanun Persekutuan.
“Selain itu, program itu juga membantu kebajikan masyarakat setempat dengan memberikan manfaat langsung serta menunjukkan komitmen SKM dalam mempromosikan perkembangan ekonomi dan sosial di kawasan ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Koperasi Prihatin Bersama Komuniti dan Pelajar di SK Lubok Punggor pada Khamis.
Rodiyah menambah, beliau begitu kagum dengan kerjasama dan sikap tolong menolong antara ibu bapa serta guru-guru dalam aktiviti gotong royong yang turut diadakan pada majlis itu.
“Saya percaya melalui kerjasama yang erat, program sebegini akan menjadi platform untuk memperkukuhkan jaringan antara koperasi dan komuniti.
“Malah, saya berharap lebih banyak koperasi dapat ditubuhkan di kawasan-kawasan lain, demi kebaikan bersama dan pembangunan komuniti setempat,” ujarnya.
Dalam majlis sama, beliau turut meluluskan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada SK Lubok Punggor menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk kegunaan pusat sumber sekolah tersebut.
Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Sarawak Tan Boon Chin, Guru Besar SK Lubok Punggor Daur Harbi, Timbalan Pengurusan Murid Sektor Pengurusan Sekolah PPD Simunjan Ismail Ahmad, Yang Dipertua (YDP) PIBG SK Lubok Punggor Jambeli Joni dan Ketua Kaum Kampung Lubok Punggor Zakaria Lasit. -EDISI UKAS