Mendapan Jalan Dari Jambatan Batang Sadong Menuju Simunjan Akan Dibaiki
KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengarahkan pihak kontraktor untuk membaiki mendapan jalan yang berlaku di 1.5 kilometer dari Jambatan Batang Sadong menuju ke Simunjan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, kerja-kerja membaiki mendapan ini dijadual bermula pada 20 November ini dan dijangka siap pada penghujung Disember 2024.
“Kontraktor juga telah memasang papan tanda amaran untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang berulang alik di kawasan ini dan JKR akan terus memantau keadaan jalan ini dari masa ke semasa.”
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan diajukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris pada hari kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Menjawab soalan lain, Datuk Ir Aidel berkata jalan dari Jambatan Batang Sadong ke Kampung Sabun, Simunjan sepanjang 6.2km akan dinaik taraf kepada standard jalan JKR R3.
Tambahnya, pemuliharaan jalan sedia ada sepanjang 1km akan menggunakan kaedah CIPR atau Coal In-Place Pavement Recycling termasuk pemasangan perabut jalan raya di beberapa lokasi terutamanya di kawasan Tidal Gate.
Jelasnya lagi, Kerajaan juga belum ada cadangan untuk mengubah struktur permukaan jalan tersebut, namun akan menurapnya menggunakan premix setelah kontrak pembinaan jalan ini tamat. - EDISI UKAS