Penemuan 20 Spesies Katak Baharu di Sarawak Bukti Kekayaan Ekosistem Flora dan Fauna
KUCHING: Penemuan 20 spesies katak baharu di Sarawak menjadi bukti bahawa ekosistem flora dan fauna di negeri ini masih kaya dengan kepelbagaian hidupan liar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata penemuan ini menunjukkan pentingnya usaha berterusan dalam kajian hidupan liar di wilayah tersebut.
Menurut beliau, kajian mendalam perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi membolehkan penerokaan secara menyeluruh terhadap biodiversiti Sarawak.
"Ini menunjukkan bahawa kekayaan flora dan fauna yang ada di negeri Sarawak maka kita harap lebih banyak lagi penyelidikan yang akan dibuat," katanya.
Beliau juga bersetuju bahawa alam sekitar di Sarawak masih sihat walaupun perubahan iklim berlaku di seluruh dunia.
Katanya usaha pemeliharaan dan pemantauan ekosistem di Sarawak memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian alam semula jadi negeri ini, meskipun menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim.
Jelasnya ia bukan sahaja memberi manfaat dalam pemeliharaan alam sekitar, tetapi juga berpotensi besar dalam mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi.
Sarawak yang terkenal dengan hutan hujan tropika dan kepelbagaian biodiversiti, semakin dikenali sebagai salah satu kawasan utama untuk penerokaan hidupan liar di dunia. - EDISI UKAS