Silibus Bahasa Isyarat Akan Dimasukkan Dalam Silibus SeDidik
SARIBAS: Silibus bahasa isyarat akan dimasukkan ke dalam silibus SeDidik dalam usaha untuk memartabatkan pendidikan awal kanak-kanak yang kelainan upaya.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, Kerajaan Sarawak melalui kementeriannya akan memdapat khidmat nasihat daripada orang kurang upaya (OKU).
"Kerajaan Sarawak telah memutuskan untuk memasukkan silibus 'sign language' (bahasa isyarat), khusus anak-anak kita yang termasuk dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU).
"Dalam usaha ini, pihak kementerian telah bekerjasama dengan ramai warga OKU untuk mendapatkan khidmat nasihat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Anugerah Kecemerlangan Murid PPKI di Dewan Millenia, Debak pada Khamis.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu menambah, ibu bapa yang mempunyai anak OKU berbakat dalam sukan didaftarkan di bawah 'Talent Identification Development Program' (TID).
Jelasnya program ini khas untuk melahirkan atlet-atlet dalam pelbagai bidang sukan dan acara.
"Di Sarawak juga turut menjalankan Talent Identification Development Program (TID), program khas utk melahirkan atlit, jika ada anak-anak yang didaftar di dalam kategori OKU, jangan dibiarkan,
"Kemungkinan ada bakat dapat di asah dibawah program yang di anjurkan oleh wilayah sarawak sebagai seorang atlit sebagaimana yang tuan-tuan boleh saksikan pada penganjuran Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXI yang lepas," ujarnya.
Majlis tersebut untuk meraikan 19 orang pelajar PPKI yang telah menerima Anugerah Kecemerlangan Murid kali ini dan selain merai empat orang pelajar yang bakal menamatkan sesi di SK Datuk Bandar dan meneruskan pembelajaran PPKI di SMK Saribas. -EDISI UKAS