Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat TAM Cawangan Sarawak
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Teknologi Malaysia (TAM) Cawangan Sarawak, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Khamis.
Delegasi kunjungan berkenaan telah diketuai oleh Pengerusinya yang juga Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Profesor Dr Ir Cassidy Morris.
Menurut kenyataan media TAM Cawangan Sarawak mendedahkan, tujuan kunjungan berkenaan adalah untuk merangka inisiatif berimpak tinggi bersama Kerajaan Sarawak ke arah memperkasa ekosistem teknologi serta pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di negeri ini.
“Perbincangan tertumpu kepada potensi kolaborasi lebih erat bersama agensi pembangunan bakat negeri, termasuk ‘Sarawak Skills and Talent Development’ (STACK), bagi menyokong agenda melahirkan lebih ramai profesional teknologi serta meningkatkan keupayaan teknikal Sarawak sejajar aspirasi ekonomi berteraskan inovasi,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, kerjasama ini turut membuka ruang kepada penglibatan lebih luas dalam kalangan pemain industri, institusi akademik dan komuniti profesional untuk berganding bahu berkongsi kepakaran serta memperkaya pengetahuan dalam bidang teknologi.
Pendekatan bersepadu ini dilihat mampu merancakkan lagi pembangunan ekosistem teknologi yang lebih dinamik dan berdaya saing di peringkat global.
Selaras dengan peranan Datuk Patinggi Abang Zohari sebagai Penasihat TAM Cawangan Sarawak, persatuan itu optimis hubungan kerjasama dengan agensi kerajaan, industri dan institusi pendidikan akan terus diperkukuh melalui penganjuran pelbagai program teknologi, pertandingan profesional serta inisiatif perkongsian ilmu yang memberi manfaat menyeluruh kepada komuniti teknologi negeri.
Mereka turut menegaskan komitmen berterusan untuk bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan dalam memacu kemajuan teknologi, memperkukuh jaringan profesional serta merangsang inovasi demi memastikan Sarawak kekal sebagai peneraju pembangunan teknologi di rantau ini. -EDISI UKAS