Loji Rawatan Air Baharu di Sg Ular Sebuyau Perkukuh Bekalan
SEBUYAU: Sebuah lagi loji rawatan air baharu berteknologi sistem akut (Acute Water Supply System) berkapasiti lima juta liter sehari (MLD) akan dibina di Sg Ular, Sebuyau sebagai langkah memperkukuh bekalan air di kawasan itu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak,
Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek tersebut telah diluluskan dan kini dalam proses pemilihan kontraktor.
Menurut beliau, loji baharu itu akan bertindak sebagai sistem sokongan kepada kemudahan sedia ada, sekali gus membantu menampung permintaan air yang semakin meningkat.
“Loji di Sebuyau hanya berkapasiti 3.2 MLD manakala di Simunjan pula 5 MLD, namun kedua-duanya masih tidak mencukupi terutama ketika musim kemarau,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program “Berziarah di Desa” sempena Majlis Ramah Tamah Rumah Terbuka Aidilfitri MUT 2026 di sini, pada Khamis.
Ketika ini, katanya, kawasan Sebuyau menerima bekalan air utama daripada Loji Rawatan Air Batu Kitang, selain loji sedia ada berkapasiti kecil di Sebuyau dan Simunjan.
Dalam pada itu, ADUN Sebuyau itu memaklumkan bahawa sebuah loji rawatan air berkapasiti 5 MLD di Sebangan yang telah diluluskan sebelum ini kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada Julai ini.
Sementara itu, beliau turut menggesa orang ramai supaya memahami peruntukan Ordinan Air Sarawak dan Ordinan Elektrik bagi mengelakkan salah faham serta tidak menuding jari kepada agensi pembekal sekiranya berlaku kerosakan dalam premis masing-masing.
“Tanggungjawab agensi pembekal seperti JBALB, Sarawak Water atau Sarawak Energy adalah sehingga ke meter sahaja. Selepas meter, penyelenggaraan adalah di bawah tanggungjawab pemilik atau pengurusan bangunan,” tegasnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang dan Ketua Pegawai Eksekutif SESCO, Yusri Safri.-EDISI UKAS