RGC Semop Dicadang Dibangunkan Sebagai Perumahan Dusun
SEMOP: Kawasan Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Semop dicadangkan untuk dibangunkan sebagai sebuah Perumahan Dusun yang menanam pelbagai jenis pokok buah-buahan dan sayuran sebagai sumber ekonomi komuniti setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, ia selari dengan potensi besar penduduk tempatan yang majoritinya terdiri daripada golongan nelayan dan petani, selain kelebihan tanah yang subur dan luas di kawasan berkenaan.
“Penyediaan keperluan asas termasuk benih tanaman serta bantuan khidmat nasihat melalui Jabatan Pertanian akan diusahakan bagi memastikan projek ini dapat direalisasikan dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop dan Pusat Khidmat Parlimen Tanjung Manis di Tapak RGC Semop, pada Khamis.
Datuk Abdullah yang juga ADUN Semop menambah, pembangunan kawasan berkenaan akan terus diperkasakan agar menjadi sebuah penempatan yang lengkap dengan kemudahan infrastruktur seperti Dewan Masyarakat Pulau Bruit, medan selera, pasar tani, surau dan tadika.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab merakamkan ucapan tahniah kepada anak-anak Pulau Bruit yang telah mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM baru-baru ini.
Beliau turut menasihati penduduk agar mengelakkan pembakaran terbuka ketika ini berikutan keadaan cuaca panas, kering serta angin kencang yang boleh mencetuskan kebakaran.
Majlis Ramah Tamah Aidilfitri tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk cabutan bertuah, pertandingan keluarga sesondon serta pertandingan pakaian Hari Raya tercantik bagi kategori lelaki dan perempuan.
Majlis Ramah Tamah Aidilfitri ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat, malah menjadi platform penting dalam menyampaikan perancangan pembangunan serta aspirasi pemimpin kepada rakyat di kawasan Semop.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Ketua Polis IPD Matu Daro DSP Rahim Mihos serta Ketua-Ketua Jabatan, Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat sekitar Pulau Bruit.-EDISI UKAS