SPAOH: Ketua kampung diminta tidak gentar menegur kontraktor yang gagal mematuhi spesifikasi projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi mengelakkan berlakunya projek sakit.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan setiap projek perlu dilaksanakan mengikut prosedur serta perancangan rapi bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan berimpak kepada rakyat.
Menurut beliau, kontraktor yang dilantik wajib mematuhi spesifikasi ditetapkan, selain memastikan kualiti kerja berada pada tahap terbaik.
Sehubungan itu, beliau menggesa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ketua kaum memainkan peranan aktif dalam memantau pelaksanaan projek di peringkat akar umbi.
Beliau menegaskan bahawa pemantauan berterusan amat penting bagi memastikan setiap peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan RTP 2026 DUN Bukit Saban di Pejabat Daerah Kecil Spaoh, pada Khamis.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 32 projek RTP bagi tahun 2026 melibatkan peruntukan RM5 juta telah diserahkan kepada 32 penerima dalam kalangan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan DUN Bukit Saban.
Selain itu, beberapa inisiatif pembangunan turut dirancang termasuk projek naik taraf Klinik Kesihatan Spaoh bernilai RM35 juta, operasi Giatmara Spaoh pada Julai serta pembangunan kawasan pertanian di Tanjung Sebekut yang dijangka merancakkan ekonomi setempat.-EDISI UKAS