Premier Sarawak Bakal Hadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat, Ramah Tamah Aidilfitri Di Debak 17 April Ini
DEBAK: Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri akan diadakan di Riveria Sport Center, di sini, pada 17 April.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bakal meghadiri program berkenaan sekaligus merasmikan beberapa projek di kawasan berkenaan.
“Antara pengisian utama program ini ialah perasmian serta penamaan jalan baharu yang telah siap dibina di bawah Program Projek Rakyat yang menghubungkan penduduk di Debak dan Kampung Tuie,” katanya selepas mesyuarat penyelarasan lawatan kerja Premier Sarawak ke daerah Kecil Debak di Pejabat Residen Betong pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu menambah, Premier Sarawak turut dijadual merasmikan sebuah masjid baharu di daerah kecil Debak selepas menunaikan Solat Jumaat bersama penduduk setempat serta mengumumkan nama rasmi masjid berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh masyarakat di DUN Saribas, khususnya dari kawasan Spaoh dan Debak untuk hadir memeriahkan majlis tersebut.-EDISI UKAS