Kerajaan Sarawak Perkasa Peranan NGO, Sokong Aktiviti Berimpak Positif Kepada Masyarakat
ASAJAYA: Kerajaan Sarawak menekankan kepentingan untuk memperkasakan peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menganjurkan program yang berorientasikan rakyat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, selain pembangunan fizikal, kerajaan menyokong setiap aktiviti yang dianjurkan dapat memberi impak positif.
"Oleh itu, kita sentiasa mengambil berat keperluan badan bukan kerajaan (NGO), kelab dan persatuan, rumah ibadat serta yang lain untuk melaksanakan aktiviti yang melibatkan masyarakat.
"Kita berharap peruntukan yang diberikan dapat digunakan dengan bertanggungjawab dan merancang program yang berfaedah dan memberi manfaat kepada masyarakat," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyampaian geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya berjumlah RM3.1 juta kepada 160 penerima melibatkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung(JKKK), badan bulan kerajaan (NGO), kelab dan persatuan serta rumah ibadat di sini, pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu turut mengingatkan para penerima untuk memastikan setiap program yang dianjurkan dapat memberikan hasil positif dan melibatkan semua golongan masyarakat setempat.
Hadir sama, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, wakil Residen Bahagian Samarahan Sanuyah Mohamad, Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Jaimi Husin, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang serta yang lain. -EDISI UKAS