Pusat Latihan Pencak Silat Bahagian Miri Berwajah Baharu, Lebih Moden
MIRI: Pesilat di Bahagian Miri kini menikmati kemudahan latihan bertaraf tinggi dengan perasmian Pusat Latihan Pencak Silat Bahagian Miri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan bertempat di Stadium Miri pada pagi Selasa.
Pusat latihan ini direka untuk menyediakan suasana latihan yang selesa dan profesional, dengan tiga ruang berhawa dingin dan lokasi strategik berhampiran fasiliti sukan lain seperti gimnasium dan trek stadium.
Menurut Awang Putrayusrie yang juga Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), pusat ini adalah langkah penting dalam menyokong perkembangan pesilat tempatan.
“Dengan adanya pusat ini, pesilat di Miri dapat menjalani latihan dengan lebih sistematik. Mereka boleh memanfaatkan gimnasium untuk latihan kekuatan dan trek stadium untuk meningkatkan stamina. Ini secara tidak langsung membantu mereka mencapai prestasi terbaik,” katanya.
Jelasnya, kemudahan baharu ini menggantikan pusat latihan sebelumnya yang disewa di bangunan komersial, sekali gus mengurangkan kos sewaan.
Di bawah pengurusan SSC, pusat ini juga memudahkan pemantauan dan sokongan kepada pesilat, menjamin pembangunan sukan silat secara berterusan.
Pusat latihan ini katanya melengkapkan pelbagai fasiliti sukan lain yang tersedia di Miri, seperti Kampung Sukan PETRONAS, Stadium Bandaraya, kolam renang, gelanggang tenis dan gelanggang memanah, menjadikan Miri sebagai hab sukan yang lengkap.
Hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Pegawai Menguasa Majlis Sukan Negeri Sarawak Bahagian Miri, Abdul Ajis Kon bin Mohamad Ghazali; Presiden Rumpun Silat Sarawak Wilayah Miri, Madon Sulong dan Pengurus Dewan Suarah Miri, Chong Suk Ting. - EDISI UKAS