Sambutan Gawai Dayak Cerminan Perpaduan Dan Keterangkuman Sarawak
KUCHING: Sambutan Gawai Dayak terus menjadi simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak apabila diraikan dalam suasana penuh keterangkuman menerusi Majlis Switching On Gawai Dayak Lighting di Bandaraya Kuching.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata penganjuran program seumpama itu mencerminkan identiti Sarawak sebagai sebuah negeri yang sentiasa menghargai kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat.
Menurut beliau, sambutan pelbagai perayaan utama di Sarawak yang diraikan bersama tanpa mengira kaum dan agama menjadi kekuatan utama negeri ini dalam mengekalkan perpaduan rakyat.
“Ia menunjukkan bahawa Sarawak sangat inklusif,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini pada Selasa.
Datuk Amar Dr Sim turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada seluruh rakyat Sarawak yang bakal meraikan perayaan tersebut.
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan jalan raya sepanjang musim perayaan terutama ketika pulang ke kampung halaman.
“Jika minum, jangan memandu. Jika memandu, jangan minum,” tegas beliau.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata konsep rumah panjang yang sentiasa terbuka ketika sambutan Gawai mencerminkan semangat keterbukaan masyarakat Sarawak dalam meraikan kepelbagaian budaya dan adat resam.
Menurut beliau, nilai kebersamaan dan keharmonian yang diamalkan rakyat Sarawak perlu terus dipelihara demi memastikan kestabilan serta kemakmuran negeri berkekalan.
“Rumah panjang merupakan simbol rumah terbuka sebenar kerana setiap pintu sentiasa terbuka ketika sambutan Gawai.
“Semangat keterbukaan inilah yang menjadi nadi perpaduan rakyat Sarawak dalam meraikan keharmonian dan kepelbagaian budaya,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Sarawak agar terus bersatu dan bersama-sama mempertahankan keamanan, kestabilan serta kesejahteraan yang dinikmati negeri ini daripada sebarang pengaruh yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
Dalam perkembangan sama, Dato Wee berkata generasi muda merupakan “hasil tuaian terbesar” Sarawak pada masa hadapan dan usaha kerajaan menyediakan pendidikan tinggi percuma akan menjadi pemangkin penting dalam melahirkan modal insan berkualiti.
Beliau turut menjelaskan reka bentuk hiasan dan pakaian bertemakan Gawai yang digunakan pada majlis tersebut mengambil kira sensitiviti budaya masyarakat Dayak termasuk mendapatkan pandangan komuniti berkaitan sebelum digunakan secara rasmi.
Majlis tersebut turut diserikan dengan penyalaan lampu hiasan bertemakan Gawai Dayak sebagai simbol kemeriahan sambutan perayaan masyarakat Dayak di Sarawak.-EDISI UKAS