MEITD taja 14 peserta ikuti kursus maritim tahun ini
SIBU: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) telah menaja 14 peserta untuk mengikuti kursus Marine Engineering Rating atau Marine Deck Apprentice bagi tahun 2026.
Setiausaha Tetap MEITD Datu Adana Jed berkata, Institut Latihan Maritim-Pelita Mas Laut dipilih menerima tajaan berkenaan untuk tahun kedua berturut-turut di bawah kementerian itu.
“Tajaan tersebut mencerminkan komitmen kementerian dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan aspirasi ke arah ekonomi digital yang mampan.
“Saya berharap semua peserta dapat menggunakan peluang ini sebaik mungkin, meningkatkan pengetahuan serta menyumbang kembali kepada pembangunan sektor teknologi dan inovasi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir mewakili Menteri MEITD Dato Sri Roland Sagah Wee dalam Majlis Tamat dan Penyampaian Sijil Marine Engineering Rating dan Pegawai Kejuruteraan Marin di Dewan Kompleks Islam Sibu, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri komited memperkukuh ekosistem maritim melalui pendidikan, inovasi teknologi dan pembangunan bakat.
Katanya, visi tersebut adalah untuk menjadikan Sarawak sebagai pusat latihan maritim serantau yang berdaya saing, berasaskan teknologi moden, inovasi digital dan amalan lestari.
“Industri maritim berdepan cabaran besar perubahan iklim, keselamatan pelayaran, persaingan global, dan keperluan teknologi baharu.
“Namun, setiap cabaran adalah peluang untuk kita berinovasi dan dengan latihan yang anda peroleh, saya yakin anda mampu menjadi agen perubahan yang membawa industri maritim Sarawak dan Malaysia ke tahap lebih tinggi,” ujar beliau.
Sementara itu, seramai 55 pelatih menerima sijil masing-masing pada majlis itu yang disempurnakan oleh Datu Adana.
Turut hadir Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Sarawak, Watson Chunggat Leonard Doo mewakili Pengarah Yayasan Sarawak, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Ibu Pejabat Laut Wilayah Sarawak Cornel Joseph Miji mewakili Ketua Pengarah Laut Jabatan Laut Malaysia, Pengarah Urusan Kumpulan Pelita Mas Laut Sdn. Bhd Masni Amit, Pengarah Urusan Jaya CoastaL Sdn. Bhd Datuk Albert Ling, Pengarah Eksekutif GimHwak Enterprise Sdn. Bhd, Dr. Renco Yong King Hwa dan Pengurus Besar Kumpulan Pelita Mas Laut Sdn. Bhd, Mohamad Nazim Masni.-EDISI UKAS