Jeti Baharu Kampung Bedanga Ulu Rancakkan Aktiviti Ekonomi Penduduk
MUKAH: Pelaksanaan Projek Siap Bina Baharu Jeti Komuniti Kampung Bedanga Ulu di sini termasuk kerja-kerja tambahan di kawasan berkenaan akan meningkatkan lagi kesejahteraan penduduk setempat, sekali gus memperlihatkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi dalam ucapannya berkata pembinaan jeti baharu di Kampung Bedanga Ulu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk kampung khususnya dalam memudahkan urusan harian serta pergerakan penduduk setempat.
Beliau berkata demikian setelah menyempurnakan Majlis Serah Tapak projek tersebut pada Selasa.
Menurut beliau, kemudahan tersebut juga diharap dapat memperancakkan aktiviti ekonomi penduduk selain menyediakan akses yang lebih selesa dan selamat kepada komuniti di kawasan berkenaan.
“Saya berharap dengan adanya jeti ini, aktiviti ekonomi dan pergerakan penduduk kampung akan menjadi lebih lancar dan selesa,” katanya.
Turut hadir wakil Pejabat Daerah Mukah Nolin Gendang, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Mukah Nurul Amanina Jaafar, Ketua Kampung Bedanga Ulu Ignatious Andrew Gayu, Kr Semaon Yusuf serta wakil kontraktor Az Engineering & Energy (Asia) Sdn Bhd.- EDISI UKAS