Dalat Dipilih Projek Perintis CFTI Perkukuh Agenda Pekan Mesra Kanak-Kanak
DALAT: Dalat bakal dijadikan perintis Inisiatif Pekan Mesra Kanak-Kanak (CFTI), sekali gus menjadi penanda aras baharu pembangunan komuniti mesra kanak-kanak di kawasan luar bandar Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperluas pelaksanaan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) bukan sahaja di bandar utama, malah turut melibatkan pekan kecil dan kawasan luar bandar.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu, setiap kanak-kanak tanpa mengira lokasi berhak menikmati persekitaran yang selamat, inklusif serta menyokong perkembangan fizikal, emosi dan sosial mereka.
“Pendekatan mesra kanak-kanak di kawasan luar bandar amat penting kerana terdapat pelbagai cabaran termasuk akses kepada perkhidmatan, jurang digital, intervensi awal, kemudahan rekreasi serta sokongan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan CFCI di Dalat dan Mukah bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Kompleks Kebajikan Dalat, pada Selasa.
Tambah beliau, pelaksanaan projek perintis di Dalat itu merupakan langkah signifikan dalam memperkukuh agenda pembangunan mesra kanak-kanak di negeri ini.
Dato Sri Fatimah turut memaklumkan beberapa inisiatif awal telah dilaksanakan termasuk sesi libat urus bersama kanak-kanak menerusi ‘Engagement Workshop with Children’ bagi mendapatkan pandangan, harapan serta kebimbangan mereka secara langsung.
“Pendekatan ini penting kerana salah satu prinsip utama CFCI ialah memastikan suara kanak-kanak didengar dan diambil kira dalam setiap proses membuat keputusan yang melibatkan kehidupan mereka,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya juga bercadang menubuhkan Majlis Kanak-Kanak dalam masa terdekat sebagai platform rasmi bagi membolehkan golongan itu menyuarakan pandangan serta terlibat dalam pembangunan komuniti.
“Sekiranya projek perintis di Dalat ini berjaya dilaksanakan dengan berkesan, ia berpotensi menjadi model rujukan baharu bagi pelaksanaan inisiatif mesra kanak-kanak di pekan kecil seluruh Sarawak,” tambahnya.- EDISI UKAS