Kerajaan Sarawak Komited Pelihara Hak Tanah NCR Masyarakat Padeh
BETONG: Kerajaan Sarawak terus komited memastikan hak tanah masyarakat Iban di kawasan Padeh terpelihara demi kepentingan generasi akan datang menerusi Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah (SHT) Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS) yang berlangsung di Rumah Panjang Bungkang, Padeh, pada Selasa.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, pengiktirafan serta pemberian hak milik tanah amat penting kerana tanah merupakan aset utama yang digunakan dalam kehidupan seharian masyarakat, khususnya komuniti Iban.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak sejak 16 tahun lalu telah berusaha mencari kaedah terbaik bagi mempercepatkan proses pengukuran tanah NCR demi kepentingan rakyat menerusi pelaksanaan Program Inisiatif Baharu NCR yang diperkenalkan pada tahun 2010.
Katanya, program tersebut dilaksanakan secara dua peringkat iaitu pengukuran perimeter serta pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak, diikuti pengeluaran geran hak milik kekal di bawah Seksyen 18 KTS kepada pemilik tanah NCR.
Beliau berkata, proses pengukuran dan penyukatan tanah bukan mudah kerana melibatkan pelbagai cabaran serta kos yang tinggi, namun segala kos berkaitan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
“Sekarang semua dah ada tanah sendiri, jadi yang perlu dilakukan adalah memastikan tanah-tanah ini diusahakan dengan aktiviti pertanian seperti penanaman getah, padi, kelapa sawit, durian dan buah-buahan bagi meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap ADUN Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu menyifatkan penyerahan surat hak milik tanah tersebut sebagai hadiah sempena sambutan Gawai kepada 44 penerima dari Rumah Panjang Sungai Sibau, Rumah Panjang Bungkang dan Rumah Panjang Gawis.
Beliau berharap penerima tidak mengambil jalan mudah dengan menjual tanah yang dimiliki, sebaliknya memanfaatkan tanah tersebut bagi menjana pendapatan dan memperkukuh ekonomi keluarga.
Beliau turut menyeru penduduk setempat yang masih belum memiliki geran tanah di bawah Seksyen 18 supaya berhubung dengan Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong untuk memohon pelaksanaan proses pengukuran tanah.
Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai potensi perdagangan karbon sebagai salah satu bentuk ekonomi baharu yang boleh dimanfaatkan pemilik tanah untuk menjana pendapatan pada masa hadapan.
Menurut Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak merupakan geran hak milik kekal yang dikeluarkan kepada pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), sekali gus memberikan jaminan pemilikan yang sah dan berkekalan.
Melalui Program Inisiatif Baharu NCR di bawah Seksyen 6 KTS, kawasan Padeh telah berjaya diwartakan seluas 10,164 hektar bersamaan 25,111.79 ekar.
Bagi pelaksanaan Fasa 2 Inisiatif Baharu NCR di bawah Seksyen 18 KTS di kawasan Padeh pula, sebanyak 361 lot individu melibatkan keluasan 682 hektar atau 1,685.26 ekar telah berjaya diukur.
Penyerahan Surat Hak Milik Tanah pada majlis tersebut melibatkan 44 penerima dari Rumah Panjang Sungai Sibau, Rumah Panjang Bungkang dan Rumah Panjang Gawis membabitkan 48 lot tanah dengan keluasan keseluruhan 236.69 hektar.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong TPr Moris Nayup, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh serta ketua-ketua jabatan dan wakil agensi berkaitan.- EDISI UKAS