Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Seru Semangat Toleransi dan Perpaduan
KUALA LUMPUR: Dalam semangat perpaduan dan keharmonian berbilang kaum, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menyeru rakyat Malaysia untuk terus menghargai nilai toleransi agama yang menjadi asas kekuatan negara.
Melalui satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Rabu, Seri Paduka Baginda berdua mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada masyarakat Kristian di Malaysia sambil menekankan pentingnya semangat saling menghormati dalam kalangan rakyat.
“Semoga perayaan ini membawa kemakmuran dan kebahagiaan kepada mereka yang menyambut Hari Natal.
“Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan budaya menjadi tunjang perpaduan negara,” titah Baginda.
Sementara itu, rakyat Malaysia yang berbilang agama turut dilihat menyertai sambutan Hari Krismas dengan kunjungan ke rumah terbuka, menghantar ucapan, dan menghadiahkan kenangan sebagai tanda hormat dan perpaduan.
Hari Krismas yang disambut setiap 25 Disember melambangkan nilai kasih sayang, perdamaian, dan kegembiraan dan nilai sejagat yang mampu menyatukan masyarakat pelbagai bangsa.-EDISI UKAS