Cuaca Panas: Kerajaan Perkukuh Kesiapsiagaan, Ibu Bapa Digesa Pantau Anak
KUCHING: Kerajaan mempergiat langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi cuaca panas semasa dengan memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan kanak-kanak, khususnya dalam persekitaran sekolah dan institusi keluarga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, garis panduan awal telah dikeluarkan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia, termasuk membenarkan pelajar memakai pakaian sukan ke sekolah serta digalakkan membawa bekalan air bagi mengurangkan risiko dehidrasi.
Menurut beliau, situasi cuaca panas yang berpanjangan menuntut tindakan proaktif semua pihak, terutama ibu bapa, dalam memastikan kebajikan anak-anak sentiasa terpelihara.
“Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan memantau aktiviti harian anak-anak agar tidak terdedah kepada cuaca panas melampau, selain memastikan mereka berada dalam keadaan selesa dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Riang Raya Syawal Rizq Plus di Pustaka Sarawak, di sini, pada Ahad.
Terdahulu, majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Dalam pada itu, Dato Sri Nancy memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini berada dalam keadaan siap siaga dengan menggerakkan seramai 4,785 petugas di seluruh negara bagi menghadapi sebarang situasi berkaitan cuaca panas.
“Seperti mana ketika bencana banjir, JKM turut memobilisasikan tenaga kerja dalam situasi cuaca panas, termasuk menyediakan sokongan kaunseling dan psikologi kepada mereka yang terkesan,” jelasnya.
Pada majlis sama, Bank Rakyat Cawangan Matang Jaya turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada golongan asnaf di bawah Parlimen Santubong melalui Dato Sri Nancy selaku Ahli Parlimen kawasan berkenaan.
Difahamkan, sumbangan tersebut akan diagihkan kepada tiga konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Santubong dengan setiap kawasan menerima RM10,000.-EDISI UKAS