Di Sebalik Jadual Padat, TPM Tetap Luang Masa Ziarah Rakan Media
KUCHING: Di sebalik jadual tugas yang padat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof tetap meluangkan masa menziarahi sahabat media yang kini menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), pada Ahad.
Keprihatinan beliau terserlah apabila menziarahi jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sarawak, Razali Nordin, 54, yang kini berdepan pelbagai komplikasi kesihatan sejak Ramadan lalu.
Menerusi hantaran di akaun rasmi Facebooknya, Datuk Amar Fadillah memaklumkan Razali dijadual menjalani pembedahan injap jantung di Pusat Jantung Sarawak pada 4 Mei depan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakan pengamal media agar tidak mengabaikan aspek kesihatan walaupun berdepan tuntutan kerja yang padat dan tidak menentu.
“Kerja penting, tetapi kesihatan lagi penting. Jaga diri baik-baik,” katanya.
Pada masa sama, beliau mendoakan agar segala urusan rawatan Razali dipermudahkan serta dikurniakan kesembuhan sepenuhnya.
Turut hadir, isteri beliau Datin Amar Ruziah Mohd Tahir.-EDISI UKAS