Masyarakat Digesa Hentikan Vandalisme, Pelihara Estetika Bandar Raya
KUCHING: Masyarakat diseru memelihara kemudahan awam dan keindahan bandar raya agar usaha pengindahan tidak dicemari gejala vandalisme.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan estetika bandar termasuk pemasangan lampu neon dan mural merupakan inisiatif strategik bagi meningkatkan imej serta daya tarikan Kuching.
Menurut beliau, setiap projek yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan termasuk Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melibatkan perancangan rapi dan kos tinggi demi keselesaan penduduk serta pelancong.
“Apabila bandar raya semakin membangun dengan pelbagai elemen keceriaan, kita amat berharap penduduk dapat bersama-sama menjaga kemudahan ini daripada sebarang perbuatan khianat.
“Vandalisme bukan sahaja menjejaskan pemandangan, malah proses pemulihan kerosakan memerlukan peruntukan besar serta masa yang lama untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui media pada Ahad.
Tambah beliau, kesedaran sivik yang tinggi amat penting bagi memastikan kelestarian pembangunan bandar dapat dinikmati dalam jangka masa panjang.
Sehubungan itu, orang ramai diseru agar lebih peka terhadap kebersihan dan keselamatan infrastruktur awam bagi memastikan Kuching kekal sebagai bandar raya yang indah, selesa dan berdaya saing. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie