Lau Rayak Mukah Satukan Komuniti, Cerminkan Keharmonian Sarawak
MUKAH: Penganjuran Majlis Lau Rayak P213 Mukah sekali lagi membuktikan kekuatan perpaduan masyarakat Sarawak apabila ribuan penduduk pelbagai kaum dan agama berhimpun dalam suasana penuh harmoni di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mukah, pada Ahad.
Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, majlis seumpama itu bukan sekadar sambutan perayaan, sebaliknya menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara kaum serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat.
“Majlis seperti ini memberi ruang kepada masyarakat untuk berkumpul, berinteraksi dan saling mengenali dalam suasana santai, sekali gus memperkukuh keharmonian yang menjadi asas kekuatan Sarawak.
“Kita akan terus memastikan program ini inklusif dan terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang, sebagaimana yang diamalkan setiap tahun,” katanya ketika ditemui media selepas majlis tersebut.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi dan ADUN Tellian Royston Valentine yang turut bersama-sama menyantuni masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk wakil rakyat, agensi kerajaan serta jawatankuasa komuniti kampung yang berganding bahu menjayakan penganjuran majlis berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa menjaga kesihatan sepanjang musim perayaan dengan memastikan pengambilan air mencukupi serta mengawal pemakanan bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan.
Turut hadir Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh dan Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip. -EDISI UKAS