Khidmat Bergerak Permudah Akses Bantuan, Dekatkan Perkhidmatan Kerajaan Dengan Rakyat
MIRI: Pendekatan khidmat bergerak terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan di peringkat akar umbi apabila inisiatif turun padang dilaksanakan bagi memudahkan rakyat mendapatkan bantuan tanpa perlu berurusan di pejabat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kaedah tersebut terbukti berkesan dalam mempercepatkan urusan permohonan serta memastikan golongan sasar tidak tercicir daripada menerima manfaat inisiatif kerajaan.
Menurut beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, pendekatan mendekati komuniti secara langsung membolehkan maklum balas rakyat diperoleh dengan lebih cepat dan tindakan susulan dapat diambil segera.
“Melalui khidmat bergerak ini, kita dapat membantu rakyat menyelesaikan urusan dengan lebih mudah, selain memberi ruang kepada mereka menyuarakan keperluan secara terus,” katanya ketika menghadiri program berkenaan di Hong Bing Coffee Cafe, pada Ahad.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk bantuan permohonan Senior Citizen Health Benefit (SCHB), kemudahan kebajikan di bawah Kad Kenyalang Gold, Sarawak Pass serta aplikasi S Pay Global.
Beliau menambah, pelaksanaan secara berkala inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan setiap bantuan kerajaan dapat disampaikan secara inklusif dan menyeluruh kepada masyarakat.
Program berkenaan turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara pemimpin dan komuniti, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian dasar serta perkhidmatan kerajaan di lapangan. -EDISI UKAS