Keharmonian Masyarakat Majmuk Jadi Keunikan Daerah Song
KAPIT: Semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Daerah Song terus menjadi inspirasi dalam mendepani cabaran kemajuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan menekankan pentingnya kerjasama erat di antara masyarakat sebagai asas kepada pembangunan daerah.
Beliau memuji keunikan Daerah Song yang dihuni oleh pelbagai kaum yang sentiasa hidup harmoni dan meraikan perayaan bersama tanpa mengira agama atau budaya.
“Malam ini, saya bukan sahaja melihat kehadiran masyarakat Cina, tetapi juga Iban, Melayu dan etnik lain turut bersama-sama memeriahkan sambutan ini.
“Inilah keunikan kita di Song sejak dahulu, dan saya mohon agar keharmonian ini terus dikekalkan demi kemajuan bersama,” katanya dalam Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina 2025 yang berlangsung di Dewan SJK (C) Hin Hua di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa perpaduan inilah yang telah menjadi kunci kepada kestabilan dan pembangunan di daerah tersebut.
Lidam turut mengambil kesempatan mengaitkan simbolik Tahun Ular dalam kalendar Cina sebagai inspirasi untuk masyarakat Song agar menjadi lebih kuat dan berdaya tahan menghadapi cabaran pada masa depan.
“Tahun Ular membawa maksud kekuatan dan keberanian. Kita perlu mengambil semangat ini untuk terus melangkah ke hadapan dan memastikan Daerah Song kekal maju dan sejahtera,” tambahnya.
Sebagai usaha menyokong pembangunan sosial dan budaya komuniti, Lidam mengumumkan peruntukan sebanyak RM15,000 untuk tujuh persatuan Cina di Song, termasuk Persatuan Foochow, Persatuan Muzik, Persatuan Kong Ling Teng, Persatuan Chiang Chuan, Persatuan Kwang Tung, Dewan Perniagaan Cina Song dan Persatuan Bomba Sukarela Song.
Menurut beliau, dana tersebut adalah langkah untuk memastikan setiap persatuan dapat menganjurkan lebih banyak program yang mampu merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
“Saya berharap agar lebih banyak program seperti ini dianjurkan untuk terus mengeratkan hubungan antara kita semua. Masyarakat yang bersatu padu adalah kunci kepada kemajuan kita bersama,” katanya lagi.
Majlis makan malam itu turut dihadiri Residen Bahagian Kapit Elvis Didit, Pegawai Daerah Song Harry Bruce Edwin serta pemimpin tempatan lain.-EDISI UKAS