Perpaduan Menjadi Titik Persamaan Kemajuan Sarawak
KUCHING: Perpaduan terus kekal menjadi satu titik persamaan dalam kemajuan Sarawak pada hari ini yang terus menekankan keterangkuman sosial di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak telah membelanjakan kira-kira RM685 juta sebagai usaha berterusan mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang agama di negeri ini.
"Seperti yang anda ketahui, setakat ini kita telah membelanjakan kira-kira RM685 juta, dengan RM560 juta disalurkan kepada ratusan rumah ibadat bagi agama-agama lain.
"Manakala kira-kira RM120 juta diperuntukkan untuk pembangunan berterusan sekolah mubaligh di seluruh Sarawak," katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Jalan Ong Tiang Swee, di sini, pada Ahad.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, pembinaan Kompleks UNIFOR ini turut mencerminkan komitmen Sarawak dalam mengekalkan keharmonian antara pelbagai agama dan kaum di Bumi Kenyalang.
Selain itu katanya, UNIFOR ini menjadi satu titik pertemuan dalam kepelbagaian agama untuk rakyatnya saling menghormati antara satu sama lain yang membawa satu kerjasama yang unik di Malaysia.
Jelasnya, perbezaan pendapat dan masalah akan wujud dalam kalangan masyarakat berbilang kaum akan wujud namun penyelesaian perlu dicari.
"Penyelesaian tersebut harus memberi manfaat kepada semua.
"Syukur, Sarawak menjadi titik penyatuan untuk membawa Malaysia ke hadapan," katanya.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, barisan Timbalan Menteri Sarawak, Pengarah UNIFOR Dato Georgina Apphia Ngau, Ketua-ketua agama, Ketua-ketua Jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery