SIPR 2026 Cipta Rekod MBOR, Sibu Diangkat Sebagai Hab Sukan Air
SIBU: Penganjuran Perlumbaan Bot Berkuasa Antarabangsa Sibu (SIPR) 2026 mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan penyertaan 251 bot, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai acara sukan air berprestij.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, pencapaian itu membuktikan potensi besar SIPR untuk dimartabatkan sebagai acara sukan air bertaraf antarabangsa sekali gus mengangkat Sibu sebagai destinasi pelancongan utama.
Menurutnya, kerajaan akan terus menyokong penganjuran acara itu termasuk memperkukuh aspek organisasi serta menambah baik kemudahan di Tebingan Pulau Li Hua bagi memastikan ia kekal sebagai acara tahunan.
“Cadangan pembangunan Tebingan Pulau Li Hua perlu dilihat secara menyeluruh melalui kerjasama dengan pihak pemaju kerana kawasan ini merupakan tanah milik persendirian.
“Saya yakin kerajaan negeri dan Persekutuan dapat membantu menghidupkan semula kawasan waterfront ini termasuk mendapatkan kelulusan daripada agensi berkaitan seperti Lembaga Sungai-Sungai Sarawak bagi penyediaan kemudahan seperti pontun dan pentas tertutup yang lebih teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan SIPR 2026 di Tebingan Pulau Li Hua, di sini, pada Ahad.
Datuk Amar Fadillah turut menyatakan kesediaannya untuk membawa cadangan pembangunan tersebut ke perhatian kerajaan negeri melalui saluran sewajarnya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan pengiktirafan MBOR tersebut sebagai cabaran kepada penganjur dan kerajaan di peringkat negeri serta Persekutuan untuk mengekalkan dan meningkatkan standard penganjuran pada masa akan datang.
Terdahulu, beliau memperuntukkan RM300,000 bagi menyokong penganjuran acara berkenaan serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kelancaran dan keselamatan sepanjang program berlangsung.
Sementara itu, pasukan Team Catamaran dari Brunei muncul juara bagi kategori Formula 3 (SST60), diikuti Meligai Warrior dari Kapit di tempat kedua, manakala Machan dari Kanowit di tempat ketiga dan Eighty Ninety dari Brunei di tempat keempat.-EDISI UKAS