Regata Betong Pacu Ekonomi, Waterfront Dicadang Tapak Kekal
BETONG: Penganjuran Regata Betong 2026 dilihat sebagai pemangkin ekonomi setempat dengan potensi untuk distrukturkan sebagai acara tahunan berskala besar, termasuk cadangan menjadikan kawasan waterfront sebagai tapak penganjuran kekal.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu yang mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Unggah Embas berkata, kejayaan penganjuran kali ini membuktikan keupayaan acara tersebut dalam merangsang aktiviti ekonomi, khususnya melibatkan peniaga kecil dan komuniti setempat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Penangguhan Regatta Betong 2026 di Astaka Utama Regata, Waterfront Betong pada Ahad.
Menurut beliau, sambutan menggalakkan yang diterima, selepas kali terakhir diadakan pada 2010, membuka ruang untuk acara tersebut diperkasa sebagai program tahunan yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa perbincangan lanjut akan diadakan bersama wakil rakyat di bawah Parlimen Betong bagi menilai potensi jangka panjang penganjuran regatta berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berpandangan kawasan waterfront Betong kini mempunyai kemudahan yang sesuai untuk dijadikan tapak kekal penganjuran.
Tambah beliau, usaha menaik taraf kawasan tersebut akan dipertimbangkan bagi memastikan ia lebih sistematik dan mesra pengunjung.
Antara cadangan penambahbaikan termasuk penyediaan tempat letak kereta mencukupi, penambahbaikan jalan, pembinaan dataran khas untuk peniaga serta peningkatan kemudahan asas seperti tandas awam, bekalan elektrik dan akses air bersih.
Langkah tersebut dilihat penting bagi meningkatkan kapasiti penganjuran serta memastikan keselesaan pengunjung dan peniaga.
Penganjuran Regata Betong 2026 bukan sahaja berjaya menghidupkan semula tradisi sukan air tempatan, malah berpotensi menjadi produk pelancongan utama yang mampu menarik lebih ramai pengunjung serta merancakkan ekonomi daerah pada masa hadapan.-EDISI UKAS