KUCHING: Jalan Ong Tiang Swee dijangka bakal diperbesarkan bagi meluaskan jalan tersebut yang merupakan antara jalan terpenting dengan terletaknya kompleks dan bangunan yang menempatkan pelbagai organisasi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersetuju atas permintaan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam ucapan aluannya memandangkan jalan tersebut kian sempit dengan pembangunan yang pesat sepanjang jalan ini.
"Dahulu, jalan ini dikira besar dan antara yang jalan yang terpenting tapi kini jalan ini semakin sempit.
"Maka Datuk Amar Douglas minta jalan ini dibesarkan tapi dia Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak memang terpulang kepada dialah.
"Itu yang saya hairan bila saya mendengar tapi mungkin dia inginkan peruntukan maka Datuk Amar Douglas terpulang kepada anda untuk laksanakannya, nanti kita carikan duit untuk anda," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Jalan Ong Tiang Swee, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut meluluskan tempat letak kereta bertingkat untuk Bangunan UNIFOR yang turut diminta oleh Datuk Amar Douglas Uggah bagi mengekang isu tempat letak kereta di jalan tersebut.
Beliau turut berseloroh agar Datuk Amar Douglas tidak meminta pembinaan tempat letak kereta terlalu canggih yang menggunakan sistem automatik.
"Kini, lebih banyak tempat letak kerefa menggunakan lif di mana selepas naik menggunakan lif, kenderaan akan mencari tempat letak kereta sendiri
"Ia juga automatik tanpa pemandu dan sistem automasi akan mencari ruang parkir sendiri.
"Tapi, jangan minta tempat macam ya sebab tiada duit untuk membina tempat letak kereta sebegitu tapi kalau buat yang macam tempat letak kereta biasa, bolehlah," ujarnya.
Pada kemuncak majlis, Premier Sarawak turut mengumumkan peruntukan RM 1 juta daripada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) kepada Lembaga Amanah Kebajikan UNIFOR.
Beliau turut menyaksikan penyerahan sijil Green Building Index (GBI) untuk Kompleks UNIFOR yang dibina dengan penggunaan cahaya semula jadi, peralatan elektrik cekap tenaga serta pengudaraan semula jadi.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, barisan Timbalan Menteri Sarawak, Pengarah UNIFOR Dato Georgina Apphia Ngau, Ketua-ketua agama, Ketua-ketua Jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery