Kompleks UNIFOR Simbol Perpaduan, Keamanan dan Kemajuan Sarawak
KUCHING: Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menjadi simbol perpaduan, keamanan dan kemajuan di Sarawak yang berteraskan kepada kepelbagaian agama di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, seni bina Kompleks UNIFOR yang moden dengan konsep 'One Wrapm serta susun atur dalaman yang harmoni melambangkan perpaduan masyarakat Sarawak yang berbilang kaum dan agama melalui motif bintang berulang sebagai simbol kepelbagaian.
"Kompleks UNIFOR akan berfungsi sebagai platform dinamik di mana pelbagai rumah ibadat dapat berkumpul, berinteraksi serta memupuk dialog dalam memperkukuh kefahaman dan mengeratkan hubungan hormat antara masyarakat berbilang kaum," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kompleks UNIFOR yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Jalan Ong Tiang Swee, di sini, pada Ahad.
Mengulas mengenai kompleks tersebut, Datuk Amar Douglas Uggah memberitahu, kompleks 10 tingkat bernilai RM75.663 juta itu dibangunkan mengikut piawaian Green Building Index (GBI) selaras dengan agenda kelestarian alam sekitar Sarawak.
Menurutnya, Kompleks berkenaan turut menempatkan menara pejabat sembilan tingkat, ruang eksekutif, taman bumbung, dewan bankuet berkapasiti 1,000 orang, sembilan unit ruang niaga serta 286 ruang parkir termasuk kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV).
Tambahnya, kemudahan di tingkat 9 yang terdiri daripada 2 bilik fungsi serta taman bumbung di tingkat 10 disediakan untuk kegunaan percuma oleh pelbagai rumah ibadat.
Dalam pada itu, Menteri Bertanggungjawab Terhadap UNIFOR itu menyeru agar rakyat Sarawak terus mengekalkan nilai bersama iaitu keamanan seiring dengan usaha untuk melangkah ke hadapan dalam dunia yang semakin kompleks ini.
"Perpaduan tidak berlaku secara kebetulan namun ia memerlukan usaha berterusan, penglibatan yang ikhlas serta kesediaan kolektif untuk menghormati perbezaan sambil menerima antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan agama," ujarnya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery