Lapangan Terbang Antarabangsa Sarawak Baharu Akan Dibina Di Tanjung Embang
KUCHING: Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Sarawak yang baharu dimuktamadkan dibina di Tanjung Embang selepas meneliti beberapa faktor utama.
Ini termasuk keperluan pesawat yang berlepas dan membuat pendaratan dalam ruangan udara Malaysia sendiri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, lokasi Tanjung Embang dipilih bagi mengelakkan penerbangan dan pendaratan kapal terbang menerusi ruang udara negara jiran, Indonesia yang mana berkemungkinan menimbulkan masalah kelak.
“Pada mulanya, kita hendak membina lapangan terbang ini di Matang, tapi sekiranya dibuat di Matang, berdasarkan ketinggian mengikut aturan antarabangsa, semuanya okay.
“Tapi ia akan melibatkan ruang udara negara lain, kita terpaksa meminta izin dan membayar harga tertentu kerana di Matang, kapal terbang terpaksa mendarat melalui ruang udara Indonesia, iaitu Kalimantan dan perkara ini akan ada masalah lain kelak.
“Jadi akhirnya, kita memilih kawasan Tanjung Embang untuk menjadi lokasi lapangan terbang baharu ini nanti,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini pada Ahad.
Mengulas mengenai pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings, Datuk Patinggi Abang Zohari dalam pada itu memberi bayangan bahawa Sarawak akan mempunyai kuasa untuk mengawal harga tiket penerbangan, yang mana sebelum ini ditentukan oleh syarikat penerbangan lain.
“Mengharapkan syarikat-syarikat penerbangan yang lain, semua tiket penerbangannya mahal, siapa yang hendak ke Sarawak kalau tiketnya sentiasa mahal, tetapi tiada pilihan yang lain sebab harga ditentukan mereka sahaja.
“Sebab itulah, kita memutuskan untuk mengambil alih MASwings sebagai syarikat milik Sarawak,” ujar beliau.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib-Naib Yang di-Pertua Kanan Parti PBB Sarawak Dato Sri Fadillah Yusof dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Naib Yang di-Pertua Parti PBB Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi Tetap Parti PBB Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Agung Parti PBB Sarawak Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB. Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Ketua Pergerakan Pemuda Parti PBB Sarawak Miro Simuh serta dif-dif kenamaan yang lain. -EDISI UKAS