KUCHING: Seramai 114 atlet menyertai Kejohanan 61st MILO/PRAM Malaysia Invitational Age Group Diving Championships 2026, sekali gus mencatat rekod penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjuran kejohanan tersebut.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian itu menunjukkan perkembangan positif sukan terjun negara serta peningkatan minat dalam kalangan atlet muda terhadap sukan akuatik.
“Saya amat berbesar hati untuk menyatakan bahawa edisi ini mencatatkan penyertaan tertinggi dalam sejarah Kejohanan Terjun MIAG.
“Berbanding dengan kejohanan tahun lepas yang diadakan di Pusat Akuatik Kebangsaan, Bandar Sukan Bukit Jalil, penyertaan telah meningkat sebanyak 39 atlet,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penutupan dan penyampaian hadiah bagi kejohanan tersebut di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, di sini, pada Ahad.
Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, kejohanan kali ini menghimpunkan sembilan pasukan tempatan iaitu Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor, Sabah, Pahang, Johor, Pulau Pinang, Kedah dan MSN selain dua pasukan antarabangsa dari Singapura dan Chinese Taipei.
Katanya, sepanjang tiga hari penganjuran bermula 8 hingga 10 Mei lalu, sebanyak 36 acara berjaya dipertandingkan melibatkan atlet muda yang mempamerkan disiplin, kemahiran dan semangat kesukanan tinggi.
Beliau berkata, kejohanan berkenaan bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah berfungsi sebagai platform kelayakan ke Sukan Asia selain medan pemilihan atlet dari setiap negeri sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.-EDISI UKAS