Lapangan Terbang Baharu Bebuling Hampir Siap, Bukti Kerajaan GPS Tunaikan Agenda Pembangunan
SPAOH: Projek pembinaan Lapangan Terbang Baharu Bebuling di sini bernilai RM248 juta kini mencapai tahap kemajuan sebanyak 99.9 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkembangan itu membuktikan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam merealisasikan agenda pembangunan serta menunaikan janji kepada rakyat.
Menurut beliau, setiap projek yang diumumkan oleh Premier Sarawak, bukan sekadar perancangan di atas kertas, sebaliknya dilaksanakan sehingga berjaya disiapkan.
“Apabila sesuatu projek diumumkan oleh Premier Sarawak, ia bukan sekadar janji, tetapi akan dipastikan menjadi kenyataan demi manfaat rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak projek di Bebuling Stolport Airport pada Ahad bagi meninjau perkembangan semasa projek serta mendapatkan taklimat berkaitan baki kerja akhir yang masih perlu diselesaikan.
Lawatan yang berlangsung dari jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari itu dihadiri kira-kira 50 orang.
Tambah Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu lagi, beliau berpuas hati dengan perkembangan projek tersebut yang kini hanya berbaki beberapa kerja kecil sebelum dapat disiapkan sepenuhnya.
Menurutnya, selepas kerja pembinaan selesai, lapangan terbang berkenaan perlu melalui beberapa keperluan teknikal termasuk ujian penerbangan bagi memastikan kesiapsiagaan operasi sebelum digunakan sepenuhnya.
Beliau juga optimis kemudahan baharu itu bakal memberi impak besar kepada pembangunan kawasan Spaoh dan Betong khususnya dalam meningkatkan aksesibiliti, merancakkan ekonomi setempat serta membuka potensi sektor pelancongan dan pelaburan.
Hadir sama, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas dan Pegawai Daerah Betong Laga Kueh. -EDISI UKAS