Bukit Sadok Dipacu Jadi Mercu Tanda Pelancongan Baharu Betong
BETONG: Bukit Sadok bakal muncul sebagai mercu tanda pelancongan baharu di Bahagian Betong menerusi pembangunan pelancongan bersepadu yang merangkumi rumah panjang serta pelbagai kemudahan pelancongan lain.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perancangan pembangunan tersebut akan memberi nilai tambah kepada kawasan Bukit Sadok yang sememangnya kaya dengan sejarah dan warisan masyarakat Iban.
Menurut beliau, idea utama projek itu adalah untuk menjadikan Bukit Sadok sebagai destinasi pelancongan utama di Betong sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
“Oleh itu, perancangan yang teliti perlu dilakukan bagi memastikan pembangunan ini mampu menarik pelancong dan mendatangkan manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan sesi pelepasan peserta Ekspedisi Bukit Sadok JKR Sarawak 2026 yang disertai seramai 151 peserta terdiri daripada pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR), pada Ahad.
Ekspedisi julung kali anjuran JKR Bahagian Betong dengan kerjasama JKR Negeri Sarawak itu menghimpunkan peserta dari Betong, Mukah, Sibu, Sarikei, Sri Aman, Kota Samarahan, Serian, Kuching serta Ibu Pejabat JKR Sarawak.
Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada pihak JKR kerana memilih Bukit Sadok sebagai lokasi ekspedisi bersejarah tersebut.
Beliau menegaskan bahawa Bukit Sadok bukan sekadar sebuah bukit, sebaliknya mempunyai nilai sejarah penting sebagai kubu pertahanan pahlawan Iban terkenal, Rentap ketika menentang pemerintahan Rajah Brooke.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan pembinaan replika kubu Rentap di kawasan berkenaan sebagai langkah penting dalam usaha memelihara sejarah dan warisan negeri untuk generasi akan datang.
Pada masa sama, beliau menyokong usaha meneroka dan menghargai khazanah alam semula jadi sebagai sebahagian daripada pendekatan pembangunan mampan.
“Kita harus lebih banyak meneroka hutan agar dapat mendekatkan diri dengan alam semula jadi bagi menyokong projek pembangunan mapan,” ujarnya.
Beliau turut berharap pihak JKR dapat memberikan maklum balas selepas ekspedisi tersebut bagi mengenal pasti potensi pembangunan serta penambahbaikan kawasan Betong untuk aktiviti pelancongan pada masa hadapan.
Hadir sama, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong, Pengarah JKR Sarawak Datu Profesor Dr Cassidy Moris, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS