Masalah Internet di Samarahan, Asajaya Perlu Penyelesaian Berkesan
KUCHING: Masalah capaian internet di kawasan Asajaya dan Samarahan perlu diberi perhatian serta tindakan penambahbaikan berterusan bagi memastikan kelancaran urusan harian masyarakat.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, gangguan internet yang berlaku memberi kesan kepada pelbagai urusan seperti pendaftaran program dan transaksi subsidi petrol yang memerlukan capaian dalam talian.
“Perkara seperti ini tidak sepatutnya terlalu kerap berlaku kerana Asajaya dan Samarahan terletak kurang sejam dari Bandar Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah bagi Kejohanan 61st MILO/MAS Malaysia Invitational Age Group Diving Championships 2026 di sini, pada Ahad.
Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berharap penyedia perkhidmatan telekomunikasi serta pihak berkaitan dapat meneliti perkara tersebut dan mengambil langkah sewajarnya bagi meningkatkan mutu liputan internet khususnya di kawasan luar bandar berhampiran bandar utama.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu, capaian internet yang stabil amat penting memandangkan masyarakat kini bergantung kepada sistem digital dalam pelbagai urusan harian.-EDISI UKAS