Ahli Parlimen Igan Santuni Keluarga Pelajar Maut Akibat Renjatan Elektrik
DARO: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menziarahi keluarga Allahyarham Fahrin Jumarudy Abdullah bagi menzahirkan rasa simpati dan dukacita susulan tragedi renjatan elektrik yang meragut nyawa pelajar tersebut.
Dalam kunjungan pada Ahad itu, beliau turut menyampaikan ucapan takziah serta memberikan sokongan moral kepada ahli keluarga yang sedang berdepan detik sukar berkenaan.
Ahmad Johnie menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah turut dirasai warga sekolah dan masyarakat setempat.
Beliau turut berharap keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian berat tersebut.
Dalam pada itu, Ahmad Johnie mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.-EDISI UKAS